KKIP AEROSPACE TRAINING CENTRE

News Collection

Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP lakar sejarah industri penerbangan

2

KOTA KINABALU: Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP yang akan dibangunkan di negeri ini bukan sahaja melakar sejarah tetapi juga akan menjadi batu loncatan untuk Sabah menjadi pemain dalam industri aeroangkasa.

 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, dengan nilai pelaburan awal sebanyak RM35 juta, pusat latihan aeroangkasa itu dijangka dapat menampung sehingga 250 pelajar yang akan diambil setiap tahun.

"Program latihan dalam Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat Udara di bawah Kategori A, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) itu akan ditawarkan dengan pensijilan berganda oleh Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP, daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan EASA, yang pertama dan satu-satunya boleh didapati di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian perdagangan dan teknikal untuk pembangunan Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP di antara Mega Aerospace Centre Sdn Bhd dan Aero-Bildung GmbH serta perjanjian pembelian untuk Pesawat Cavalon 915 iS antara KKIP Aerospace Sdn Bhd dan Autogyro GmbH, di Pasific Sutera Harbour Resort di sini hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Sdn Bhd Melvin Dismond dan Pengerusi Mega Aerospace Centre Sdn Bhd Prof Ir Dato Dr Mohamad Dali Isa.

Madius berkata, adalah diharapkan kerjasama antara Mega Aerospace Centre dan Aero-Bildung GmbH akan mewujudkan satu platform bagi warga Sabah untuk mendapatkan program latihan aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, untuk melahirkan tenaga kerja mahir merupakan satu komitmen yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia, di samping industri aeroangkasa serantau ASEAN yang berkembang pesat.

"Minggu lepas saya berada di China dalam Misi Perdagangan, diketuai Ketua Menteri dan telah menandatangani 12 MoU dengan jumlah pelaburan yang diunjurkan sebanyak RM10 bilion dalam pelbagai sektor.

"Kita berharap akan dapat membawa lebih banyak pelaburan ke Sabah untuk mencapai sasaran 35 peratus sumbangan perindustrian kepada KDNK pada tahun 2030," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berharap melalui inisiatif dalam industri aeroangkasa, iaitu Hab Aeroangkasa KKIP, akan dapat menarik pelaburan dalam komponen MRO, pembuatan komponen dan pembuatan pesawat ringan.

"Ini adalah antara kandungan pembangunan pembuatan yang dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan aktiviti perkilangan.

"Semua pembangunan ini dilakukan untuk membawa kemakmuran dan kedamaian bagi rakyat Malaysia serta Sabah khususnya," katanya.

Madius berkata, selaras dengan aktiviti dan program pembuatan agresif yang diselaraskan oleh kerajaan dan agensi-agensinya, pembangunan sumber manusia yang berkemahiran perlu dilaksanakan selaras dengan usaha untuk menghasilkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan dan inovatif secara berterusan.

"Oleh itu, saya amat percaya bahawa pembangunan Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP adalah relevan dan memberi manfaat kepada negara," katanya.

Beliau berkata, KKIP sendiri sedang dalam proses transformasi untuk menghasilkan pembuatan tambah nilai yang tinggi, dan membangunkan keperluan ekosistem untuk memacu pelaburan dalam sektor berkenaan.

"Program hari ini (Isnin) hanya salah satu program yang telah dirancang. Terdapat banyak lagi pembangunan perindustrian yang lain di peringkat pelaksanaan selain pembangunan aeroangkasa," katanya.

Katanya, KKIP Sdn Bhd bersama SEDIA merancang untuk mewujudkan Zon Bebas Ekonomi utama di KKIP, yang mana kandungan pembangunan termasuk Hab Automotif, Taman Bioteknologi, Hab Makanan Halal, serta zon perkilangan am.

Source : Utusan Borneo Online
Published on: April 29, 2019
By: JOHN TAMBANAN

Copyright © 2020 - KKIP Aerospace Training Centre. All rights reserved.